COVID-19: Jumlah Kes Positif Di Dua Flat Masjid India Kian Serius
Tuesday, 7 April 2020
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu dikuatkuasakan di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India berikutan jumlah positif COVID-19 yang dikesan semakin serius. Kesesakan di kawasan itu juga menjadi faktor.
Perkara ini kerana, dua blok kediaman itu dihuni antara 20 hingga 30 pekerja warga Bangladesh, India dan Pakistan bagi setiap unit, sekali gus menyaksikan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan berkenaan.
Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya akan menyelaraskan pelaksanaan PKPD di dua flat berkenaan selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Berdasarkan arahan KKM, sesebuah lokasi harus dikategorikan sebagai zon merah, apabila mencatatkan jumlah 40 kes positif COVID-19 dan pada masa ini jumlah di dua flat ini sudah merekodkan 15 kes positif, tidak termasuk di Plaza One City yang tidak jauh dari sini. Jika dicampur keseluruhannya hampir 40 kes.
“Kami perlu mengatur gerak menerusi Jawatankuasa Keselamatan Kementerian Wilayah untuk menyelaraskan segala perkara berkaitan PKPD di sini,” katanya selepas meninjau flat Selangor Mansion, hari ini.
Tan Sri Annuar Musa berkata lagi menerusi mesyuarat sama juga, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memutuskan sama ada untuk melakukan proses memindahkan penghuni ke pusat kuarantin. Ia berikutan dengan kepadatannya membabitkan lebih 6,000 orang.
“Kita akan meneliti segala maklumat dan sebarang cadangan daripada KKM sama ada proses saringan boleh dilakukan di sini atau perlu dilakukan di satu lokasi lain yang lebih teratur.
“Faktor lain turut diambil kira adalah sekiranya jumlah positif COVID-19 mencatat peningkatan ketara,” katanya.
Beliau berkata, isu penting di kawasan Masjid India ialah untuk mengekang penyebaran dan penularan wabak COVID-19 terhadap orang ramai, petugas KKM, polis dan tentera yang mengawasi kawasan sekitar.
Ujarnya, kementerian bekerjasama dengan Kedutaan India, Pakistan dan Bangladesh bagi menyelaraskan rakyat mereka yang tinggal di flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India
“Sudah tentu isu utama apabila kita melaksanakan PKPD adalah keperluan harian semua penduduk terbabit dan KWP akan meminta bantuan tiga kedutaan asing berkenaan membantu rakyat mereka.
“Ini termasuklah bantuan dari segi logistik dan keperluan harian seperti makanan dan minuman penduduk di sini kerana membabitkan rakyat mereka,” katanya.
Annuar berkata penyelarasan ini termasuklah penyampaian mesej dalam bahasa asing dan arahan dari Kementerian Kesihatan.
Apa-apa pun tindakan segera perlu diambil ke atas tempat-tempat yang berisiko tinggi yang membolehkan penularan wabak terus merebak kepada ramai orang lagi. Diharapkan seluruh rakyat Malaysia memberi kerjasama yang utuh untuk mematuhi PKP.
Untuk baca artikel lain berkenaan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:
Sumber




No comments:
Post a Comment