95 individu dikompaun RM1,000 ingkar PKP
April 9, 2020 .
![]() |
| JPJ akan membantu PDRM dan ATM di sekatan jalan raya seluruh negara |
PUTRAJAYA: Sebanyak 95 notis kompaun dikenakan ke atas individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata mereka akan dibawa ke balai polis sebelum diberikan kompaun dan bayaran RM1,000 perlu diselesaikan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 2 minggu selepas tarikh ia dikeluarkan.
Penguat kuasaan kompaun RM1,000 oleh polis bermula semalam.
“Mereka yang gagal membayar kompaun akan dihadapkan ke mahkamah,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat khas menteri dan pihak terlibat dalam mendepani penularan wabak Covid-19.
![]() |
| Iklan |
![]() |
| Iklan |
Ismail yang juga menteri pertahanan berkata, kadar pematuhan PKP setakat ini adalah 97% dan semalam pihak polis bersama tentera menahan 300 individu di sekatan jalan raya dan melalui rondaan.
“Jumlah yang ditangkap semalam, menurun berbanding 455 tangkapan pada hari sebelumnya, ia menurun sebanyak 35%.
“Daripada 300 individu yang ditahan semalam, jumlah yang direman 252 dan 48 diikat jamin.
“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 8 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 7,205 individu,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 3% rakyat masih gagal mematuhi PKP.
Dalam perkembangan sama, Ismail berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu polis dan tentera di barisan hadapan.
“JPJ akan membantu PDRM dan ATM di sekatan jalan raya seluruh negara,” katanya.
Beri makan Orang Asli
Ismail berkata kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengagihkan makanan kepada masyarakat Orang Asli sejak PKP bermula.
Beliau juga memaklumkan, mana-mana pihak yang terjejas tidak menerima bekalan makan supaya melaporkannya kepada pemimpin masyarakat.
“Terdapat laporan di media sosial yang mengatakan bekalan makanan tidak sampai.
“Dinasihatkan agar segala masalah seperti ini dilaporkan kepada pemimpin masyarakat setempat seperti wakil rakyat dan ketua kampung,” katanya.
Kematian luar negara
Ismail berkata, kerajaan belum menerima sebarang laporan kes kematian melibatkan rakyat Malaysia yang berada di luar negara akibat jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, jika ada, katanya, kedua-dua negara iaitu Malaysia dan negara terlibat mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri untuk menguruskannya.
Katanya, Malaysia tidak mempunyai masalah untuk membawa balik jenazah rakyatnya, jika kes seumpama itu berlaku.
“Tapi SOP akan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bagaimana nak bawa pulang atau sebagainya.
“Kita perlu ingat, meninggal di negara lain ada SOP mereka sendiri. Dua-dua negara ada SOP. Kita mesti patuh pada SOP kita dan SOP negara berkenaan,” katanya.





No comments:
Post a Comment